Latihan Jururawat Kementerian Kesihatan Malaysia


Perwatakan yang diperlukan dalam kerjaya kejururawatan ialah penyayang, cergas, sopan, penyabar,  jujur, prihatin, berupaya berkomunikasi dengan baik serta mempunyai sikap yang positif.

Peranan Jururawat

Peranan jururawat secara umumnya merangkumi aktiviti penjagaan kesihatan primer, sekunder dan tertiar.  Bagi aktiviti  penjagaan kesihatan primer, meliputi aktiviti-aktiviti promosi kesihatan, pencegahan dan pengawalan penyakit, jagaan perawatan dan rehabilitasi. Manakala bagi penjagaan kesihatan sekunder dan tertiar  pula  ia  melibatkan  aktiviti-aktiviti penjagaan kesihatan di hospital-hospital. Selaras dengan tugas jagaan perawatan secara holistik tersebut, jururawat perlu memantau keadaan pesakit dari semasa ke semasa, mendokumenkan rekod kemajuan perawatan serta membuat tindakan sewajarnya dan melaporkan keadaan luar biasa kepada pihak yang bertanggung jawab

Jururawat  merupakan  tenaga  kerja  terbesar  serta  memainkan peranan  penting  dalam  perkhidmatan  kesihatan  negara  maka,  tenaga  kerja jururawat memerlukan pasukan professional yang dinamik dan responsif terhadap dasar kesihatan negara, keperluan pelanggan dan persekitaran yang sentiasa berubah.  Setiap  jururawat  mampu  memberi  perkhidmatan kepakaran kejururawatan menerusi    amalan budaya penyayang, kerja berpasukan, efisien, efektif dan profesional, seiring dengan  teknologi terkini yang bersesuaian ke arah peningkatan kehidupan yang berkualiti. 

Skop perkhidmatan jururawat adalah merangkumi bidang dan pengkhususan berikut:-

Perkhidmatan Primer
  • Memberikan jagaan perawatan primer dan kecemasan di fasiliti kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan berikut:-
  • Penjagaan kesihatan ibu hamil
  • Penjagaan kesihatan ibu lepas bersalin
  • Kebidanan di rumah
  • Penjagaan  kesihatan  bayi  dan  kanak-kanak  di  bawah  6  tahun termasuk imunisasi
  • Perkhidmatan kesihatan sekolah
  • Pemakanan untuk ibu dan kanak-kanak
  • Perancang keluarga
Perkhidmatan Perubatan Sekunder dan Tertiar

Peranan jururawat dalam bidang sub kepakaran dan kepakaran telah berkembang dengan wujudnya  tugasan  extended  dan  expanded selaras dengan perkhidmatan bidang perubatan. Dalam hubungan ini,  Jururawat telah memberikan perkhidmatan di pelbagai unit pengkhususan, kepakaran dan sub kepakaran di hospital-hospital yang merangkumi aktiviti-aktiviti berikut:-

Perkhidmatan Pengkhususan

Perkhidmatan pengkhususan bagi Jururawat meliputi bidang-bidang Kecemasan dan traumatologi, anestesialogi, rawatan rapi, hemodialisis, dan lain-lain.

Perkhidmatan kepakaran dan sub kepakaran

Perkhidmatan kepakaran dan sub-kepakaran bagi jururawat adalah bertujuan  untuk  melahirkan  pemikir  yang  kritis  yang dapat menghasilkan  jagaan  perawatan  menggunakan  “Evidence  Based Delivery”. Pada masa ini terdapat 26 bidang kepakaran jururawat yang diperlukan bagi  hospital pakar dan hospital tanpa  pakar di seluruh  Malaysia.  Seiring  dengan  perkembangan  yang  berlaku dalam  bidang  perubatan  dan  corak  penyakit  masa  kini,  bidang- bidang kepakaran kejururawatan yang  baru  seperti  Cardiothoracic/ Cardiology Nursing, Emergency/Trauma Nursing, Ambulatory and Stroke Management in Nursing, dan Oncology Nursing adalah diperlukan bagi memenuhi keperluan perubatan sekunder dan tertiar semasa.

Pelantikan Ke Skim Perkhidmatan Jururawat

(a)      Lantikan Ke Gred U29

i. Memiliki  Diploma  Kejururawatan  daripada  Kolej  Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Institusi Pengajian Tinggi Awam  (IPTA)  dan  Institusi  Pengajian  Tinggi  Swasta  (IPTS) yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia; dan

ii. Telah berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia.

iii. Lulus   Bahasa   Malaysia   (termasuk   lulus   Ujian   Lisan) di  peringkat  Sijil  Pelajaran  Malaysia  atau  kelulusan  yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.

(b)     Lantikan Ke Gred U41


i.  Memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan dengan Kepujian dalam bidang berkaitan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan Malaysia; dan

ii. Telah berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia.

iii.  Lulus   Bahasa   Malaysia   (termasuk lulus Ujian Lisan) di  peringkat  Sijil  Pelajaran  Malaysia  atau  kelulusan  yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.

Cara Memohon

Calon yang mempunyai kelulusan seperti di para 2.1 (a) dan (b) adalah layak untuk memohon jawatan Jururawat dengan mengisi Borang SPA 8 melalui  laman  web  Suruhanjaya  Perkhidmatan  Awam  (SPA) 

i. Permohonan Berkhidmat Di Agensi Kerajaan

Bagi  pelatih  kejururawatan  atau  Jururawat  di  agensi  swasta  dan badan berkanun yang berhasrat untuk berkhidmat dalam agensi kerajaan perlu memohon melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)  dengan  mengisi  borang  permohonan  SPA  8  yang  boleh didapati dari laman web SPA

Bagi permohonan yang memenuhi kelayakan yang ditetapkan akan dipanggil  untuk  menjalani  sesi  temuduga  yang  dilaksanakan  oleh SPA dimana keputusan akan dapat diketahui dalam masa satu bulan selepas temuduga melalui laman web SPA. Lanjutan daripada itu, surat  tawaran  akan  dikeluarkan oleh  SPA  dan  surat  penempatan akan   dihantar   oleh   Bahagian   Sumber   Manusia   Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jantina: Lelaki dan Perempuan

Tempoh Latihan:

3 tahun (bagi calon Lantikan Terus)

1 tahun (bagi calon PSL daripada Jururawat Masyarakat)

Biasiswa Semasa Latihan: RM835.57 sebulan

Kem/Jab: Kementerian Kesihatan Malaysia

Tempat Latihan:

    Kolej Kejururawatan Alor Setar, Kedah
    Kolej Kejururawatan Sungai Petani, Kedah
    Kolej Kejururawatan Pulau Pinang
    Kolej Kejururawatan Ipoh, Perak
    Kolej Kejururawatan Taiping, Perak
    Kolej Kejururawatan Seremban, Negeri Sembilan
    Kolej Kejururawatan Melaka
    Kolej Kejururawatan Muar, Johor
    Kolej Kejururawatan Johor Bahru, Johor
    Kolej Kejururawatan Kuantan, Pahang
    Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu, Terengganu
    Kolej Kejururawatan Kubang Kerian, Kelantan
    Kolej Kejururawatan Sibu, Sarawak
    Kolej Kejururawatan Kota Kinabalu, Sabah
    Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Sungai Buloh (KSKB) Selangor
    Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Kuching Sarawak
    Kolej Kejururawatan Sandakan, Sabah

Syarat Latihan:

Warganegara Malaysia

Umur:

Calon lantikan terus hendaklah berumur tidak kurang dari 17 tahun tetapi tidak melebihi 25 tahun pada tarikh tutup permohonan.

Pegawai sedang berkhidmat (bukan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan) dalam Perkhidmatan Awam/Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan yang telah disahkan dalam perkhidmatan hendaklah berumur tidak melebihi 38 tahun pada tarikh tutup permohonan.

Kelayakan:


Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan;
Kepujian mata pelajaran Matematik, Sains dan 3 mata pelajaran lain; dan
Lulus Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu (termasuk Ujian Lisan) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

Keutamaan:

Mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik serta tidak mengalami kecacatan yang boleh menyebabkan calon tidak sesuai menjalankan tugas selepas tamat latihan;

Syarat Kenaikan Pangkat Secara Lantikan:

Pegawai sedang berkhidmat dalam perkhidmatan Jururawat Masyarakat adalah layak dipertimbangkan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan untuk mengikuti Latihan Jururawat apabila telah disahkan dalam perkhidmatan dan:

Mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan;

Lulus Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu (termasuk Ujian Lisan) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; dan

Berumur kurang dari 51 tahun pada tarikh permohonan.

Deskripsi Tugas

I. Hospital

Di hospital, jururawat bertugas di wad-wad, dewan bedah, Jabatan pesakit luar dan klinik-klinik pakar. Fungsi utama ialah memberi perawatan holistic kepada semua pesakit.

II. Unit Kesihatan

Di Unit Kesihatan Awam, jururawat bertugas sebagai seorang ahli pasukan kesihatan awam dalam memberi jagaan kesihatan keluaga dan perkhidmatan kesihatan awam dengan objektif  untuk meningkatkan taraf kesihatan masyarakat.

Perhatian:

Pelatih-pelatih yang telah tamat latihan akan diperakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk dilantik ke jawatan Jururawat Gred U29.



Rujukan : http://www.spa.gov.my/web/guest/deskripsi-tugas/latihan-separa-perubatan


Post a Comment